|
Tarikh : 03 November 2023 Masa : 8:00 pagi – 12:30 tengah hari Tempat : PEDi Kg. Tenang Peserta : 111 orang pengunjung |
Tujuan:
Matlamat penganjuran Mini Hari Terbuka Bersama Komuniti 2023 untuk mengeratkan hubungan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kg. Tenang dengan komuniti setempat serta mewujudkan kalobarasi antara pemimpin setempat dan agensi yang terlibat. Selain itu, program ini mewujudkan kesedaran tentang kepentingan literasi digital dan media serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam persekitaran digital yang sihat. Program ini dapat memberi kesedaran terhadap kesan buruk pada kesihatan dan persekitaran akibat pelupusan peranti mudah alih secara tidak berhemah. Di samping itu, program ini dapat memberi pendedahan kepada usahawan dan bakal usahawan mengenai perniagaan dalam talian yang banyak digunakan pada masa kini serta memupuk dan memberi kesedaran mengenai tahap kesihatan individu.
Aktiviti:
Mini Hari Terbuka Bersama Komuniti 2023 telah berlangsung pada hari Khamis bersamaan 2 November 2023 bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 5.30 petang yang dihadiri oleh komuniti setempat. Antara aktiviti yang dilakukan ialah, pertandingan mewarna bersama-sama murid Tabika Kemas Pekan Air Panas dan Kampung Tenang. Seramai 21 orang pelajar yang terlibat iaitu 10 orang daripada Tabika Kemas Air Panas, manakala 11 orang lagi daripada Tabika Kemas Kampung Tenang. Aktiviti diteruskan lagi dengan kuiz perkakasan komputer bersama pelajar tahun 2 dan 3 Sekolah Kebangsaan Kampong Tenang. Seramai 10 orang pelajar menyertai kuiz perkakasan komputer mengenai fungsi dan kegunaan peralatanya. Selain itu, mereka turut diberikan taklimat ringkas berkaitan dengan klik dengan bijak.
Seterusnya, kelas dan pertandingan keusahawanan: Shopee diadakan pada sesi petang. Seramai 10 orang usahawan dan suri rumah menyertai kelas keusahawanan ini. Kelas ini memberi pendedahan kepada usahawan untuk beralih kepada platform digital, membina kedai di Shopee, memasukkan produk dan dekorasi kedai di Shopee serta suntingan gambar yang menarik untuk meningkatkan jualan. Selain itu, peserta turut diberikan kuiz sebagai ujian dan pemberian cenderamata kepada setiap individu.
Kemuncak Mini Hari Terbuka Bersama Komuniti 2023 adalah pada 3 November 2023, (Jumaat) yang bermula dari jam 08:00 pagi hingga pukul 12:30 tengahari. Aktiviti dimulakan dengan senaman ringan yang disertai oleh para pengunjung program. Seterusnya, terdapat 2 sukaneka yang dipertandingkan semasa hari kemuncak iaitu, sukaneka Musang Berjanggut dan sukaneka Ikatan Kasih Kain Pelikat. Bagi sukaneka Musang Berjanggut, seramai 25 orang peserta terdiri daripada lelaki dan perempuan dalam satu kumpulan. Aktiviti ini dilakukan untuk mengasingkan 6 jenis kekacang yang terdiri daripada kacang soya, kacang hijau, kacang merah, bunga cengkeh, barli dan jagung.
Sukaneka Ikatan Kasih Kain Pelikat pula, seramai 15 orang peserta terdiri daripada peserta lelaki sahaja dan seramai 5 peserta bagi setiap satu kumpulan. Peserta perlu mengerakkan kain pelikat tersebut bermula dari individu pertama hingga individu yang terakhir tanpa melepaskan tangan antara peserta. Selain itu, taklimat berkaitan KITAR juga disampaikan agar semua pengunjung mengambil peluang untuk melupuskan barangan elektronik yang tidak terpakai di tong KITAR yang telah disediakan.
Taklimat kesihatan mental turut diadakan bagi memberi kesedaran kepada pengunjung betapa pentingnya kesihatan mental pada diri seseorang dan turut diadakan aktiviti menguji minda dan fokus seseorang individu yang telah disampaikan oleh kaunselor Pejabat Kesihatan daerah Segamat. Disusuli dengan pemeriksaan kesihatan dan semakan kelayakkan PEKA B40 dari Klinik Kesihatan Air Panas. Selain itu, pameran dari agensi Ar Rahnu YAPEIM mempromosikan produk-produk pembiayaan yang ditawarkan dan perkhidmatan yang ditawarkan seperti cuci emas dan insurans banjir kepada para pengunjung.
Majlis penutup Mini Hari Terbuka Bersama Komuniti 2023 telah dirasmikan oleh En. Ismail Bin A. Bakar, Ketua Kampung Tenang. Turut hadir menyerikan majlis penutup En Al-Hafiz Bin Mustapha, wakil MSD (DRM), Tuan Haji Ishak bin Asari, Imam Masjid Jamek Darul Iman Kampung Tenang serta Puan Narimah binti Ahamed, JPKK Kampung Tenang.